RAKAN mengunjungi Abdul Khalid  sebaik tiba di Taman Kandis Permai, Kampung Jawa. FOTO Faiz Anuar
RAKAN mengunjungi Abdul Khalid sebaik tiba di Taman Kandis Permai, Kampung Jawa. FOTO Faiz Anuar
Icka S Hassan


Klang: “Tiada kata yang saya dapat ucapkan selain berterima kasih kepada Harian Metro (HM) kerana membantu menyatukan saya kembali dengan keluarga selepas lebih 10 tahun terpisah,” kata Abdul Khalid Abdul Majid, 56.

Lelaki itu yang sebelum ini dijaga rakannya, Abu Bakar Osman, 64, di sebuah surau lama di Kampung Angga Bisa, Gachong, Kuala Pilah, Negeri Sembilan tiba di rumah kakak sulungnya Hamemah, 57, di Taman Kandis Permai, Batu 4, di sini, jam 5 petang.

Abdul Khalid dalam keadaan sebak ketika ditemui memberitahu dia terlalu gembira, malah tidak dapat melelapkan mata sejak kelmarin kerana tidak sabar untuk dibawa pulang ke kediaman kakaknya.

“Hanya Allah saja yang tahu betapa gembira dapat berjumpa adik-beradik dan ahli keluarga yang terpisah sekian lama. Saya tidak dapat menahan air mata setiap kali adik-beradik meluahkan kerinduan mereka kepada saya,” katanya.

ABDUL Khalid yang terlantar sakit pulang ke pangkuan keluarganya di Taman Kandis Permai, semalam. FOTO Faiz Anuar
ABDUL Khalid yang terlantar sakit pulang ke pangkuan keluarganya di Taman Kandis Permai, semalam. FOTO Faiz Anuar

Akhbar ini sejak Sabtu lalu menyiarkan Abdul Khalid dijaga Abu Bakar sejak dua bulan lalu selepas disahkan sakit dalam perut oleh doktor di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Bagaimanapun, selepas kisah mereka disiarkan di HM, adik-beradik Abdul Khalid tampil untuk membawanya pulang ke rumah mereka, semalam.

Sementara itu, Hamemah berkata, keluarganya akan mengadakan kenduri doa selamat sebagai tanda kesyukuran kepulangan adiknya ke pangkuan keluarga semula.

Katanya, dia juga bercadang mahu membawa Abdul Khalid menjalani rawatan tradisional bagi membantu memulihkan penyakit dihidapinya.

“Kami sekeluarga sangat merinduinya dan mencarinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

LAPORAN Metro Ahad, semalam. FOTO Faiz Anuar
LAPORAN Metro Ahad, semalam. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 8:16 AM