TIGA paket dadah jenis syabu seberat 2.85 gram yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM.
TIGA paket dadah jenis syabu seberat 2.85 gram yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM.
Garret Dawum


MASALAH kewangan antara punca guru lelaki mengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan ladang sawit dekat Selangau dan Mukah, sejak awal tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, guru berusia 49 tahun itu antara lima individu yang ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, kelmarin.

“Turut ditahan adalah isterinya berusia 38 tahun, dua anak berusia sembilan dan 17 tahun serta seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun.

“Mereka ditahan di hadapan sebuah restoran di Pekan Selangau pada 11.10 pagi ketika menaiki kereta.

“Pemeriksaan terhadap beg di dalam kereta itu menemui tiga paket plastik berisi dadah dipercayai syabu seberat 2.85 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jimmy berkata, dua anak guru itu dibebaskan selepas keterangan mereka diambil manakala, tiga yang lain masih ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek juga negatif dadah. Siasatan awal mendapati guru berkenaan yang mengajar di sekolah rendah di Selangau mengaku mengedar dadah kerana menghadapi masalah kewangan.

“Malah, bekalan dadah didakwa diperoleh daripada seorang pengedar di Sibu,” katanya sambil memberitahu ketiga-tiga suspek direman empat hari hingga Khamis.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kami memandang serius permasalahan dadah di Mukah dan berusaha mengekangnya habis-habisan. Orang ramai mempunyai maklumat diminta beri kerjasama dan menyalurkannya ke balai polis terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 10:03 AM