Rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas pasukan PGA di sebuah premis di Jalan Mukah-Oya pagi semalam. FOTO ERIKA GEORGE
Rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas pasukan PGA di sebuah premis di Jalan Mukah-Oya pagi semalam. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Mukah: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama dipercayai diseludup dianggarkan bernilai RM216,281 dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Mukah-Oya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota Batalion 10 PGA Sibu menjalankan serbuan dalam Op Kontraban ke atas premis terbabit pada 11.45 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan menemui rokok dan minuman keras pelbagai jenama seludup dipercayai untuk pasaran tempatan dan turut menahan lelaki warga emas berusia 71 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis.

"Hasil soal siasat, warga emas terbabit didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan rokok dan minuman keras itu.

"Berikutan itu, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 135(d)(1) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 5:02 PM