FOTO Hiasan FOTO Arkib NSTP
FOTO Hiasan FOTO Arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


JABATAN Imigresen akan mengambil tindakan susulan bagi penambahbaikan berhubung pendedahan berlaku manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya memandang berat pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 dan akan melihat langkah yang harus dilakukan bagi memastikan perkara itu tidak berulang pada masa akan datang.

“Tadi saya sudah bincang dengan Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Khairul Dzaimee Daud) dan akan meneliti lanjut perkara ini.

“Dari segi penambahbaikan, memang kita sudah mulakan pun sekarang.

“Ini sistem dulu yang diulas Jabatan Audit Negara tapi kita sudah ambil langkah membaiki kebocoran dan salah guna kuasa,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mengenai berlakunya manipulasi dan penipuan dalam MyIMMs bagi meluluskan kuota pekerja asing sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada negara.

Berdasarkan audit bagi tempoh 2016 hingga 2018 itu, ada manipulasi pada sistem itu yang mana kuota diwujudkan kepada 123 syarikat untuk membawa pekerja asing adalah kelulusan palsu.

Kelemahan sistem itu turut menyebabkan tiada rekod tepat mengenai bakal pekerja asing yang gagal pemeriksaan saringan kesihatan Bio-Medical dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) dihantar pulang sekali gus mengundang risiko penyakit kepada penduduk tempatan.

Untuk rekod sehingga Disember 2018, terdapat 1.2 juta pekerja asing yang sah dan aktif bekerja di Semenanjung tidak termasuk Sabah, Sarawak serta pembantu rumah.

Selain itu, 41,607 daripada 1.53 juta pekerja asing juga gagal pemeriksaan kesihatan FOMEMA walaupun 17,520 orang sudah lulus Bio-Medical di negara sumber.

Daripada jumlah itu, 7,197 orang didapati menghidap penyakit Tuberculosis dan 1,752 orang menghidap penyakit Hepatitis B.

Menurut laporan itu lagi, 1,013 pekerja asing yang gagal pemeriksaan kesihatan FOMEMA mendapat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), mereka terdiri daripada 734 orang menghidap penyakit Tuberculosis dan 11 orang menghidap penyakit Hepatitis B.

Beberapa syor diberikan oleh audit bagi memastikan pengurusan kawalan pekerja asing dilaksanakan lebih teratur, cekap dan berkesan.

Ini termasuk keperluan KSM mengkaji semula sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) dengan mengadakan insentif lebih menarik bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 3:30 PM