Bas yang membawa pekerja warga asing. FOTO ARKIB NSTP
Bas yang membawa pekerja warga asing. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengurusan pengambilan dan penggajian pekerja asing di Sabah dan Sarawak dalam tempoh 2017 hingga 2019 didapati kurang cekap, walaupun dibuat berdasarkan keperluan sektor dibenarkan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini, tadi, audit mengesan isu ketidakcekapan dalam rekod Memo Periksa Keluar (COM) dan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

"Selain itu ialah pencerobohan kawalan dalaman dan keselamatan terhadap Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kedua-dua negeri berkenaan.

"Untuk COM misalnya, JIM Sabah mengeluarkan sebanyak 24,880 sepanjang tempoh itu namun hanya seramai 14,481 pekerja asing yang mengisi COM didapati direkodkan sudah keluar dari Malaysia, manakala 10,399 orang lagi tiada rekod keluar dari negara," menurut laporan itu.

LKAN mendapati JIM Sarawak pula mengeluarkan COM sebanyak 25,905 bagi tempoh itu tetapi analisis audit selanjutnya mendapati seramai 9,010 daripada 25,905 pekerja asing yang mengisi COM direkodkan keluar dari Malaysia manakala seramai 16,895 orang lagi tiada rekod keluar dari Malaysia.

Laporan itu juga mendedahkan walaupun kutipan hasil daripada pengambilan dan penggajian pekerja asing di Sabah berjumlah RM421.71 juta dan Sarawak (RM522.32 juta) sepanjang tempoh berkenaan, seramai 1.5 peratus daripada 1,911 pekerja asing di Sabah gagal pemeriksaan kesihatan dilulus dan dikeluarkan dengan PLKS.

"Di Sarawak pula sebanyak 47,838 atau 36 peratus daripada 133,134 PLKS yang dikeluarkan JIM negeri tiada maklumat lesen bagi membuktikan majikan telah memohon lesen di Jabatan Tenaga Kerja Sarawak untuk mengambil dan menggaji pekerja asing," menurut laporan itu lagi.

Berhubung Sistem MyIMMs, laporan itu menyebut sebanyak 37 dan 1,137 pelekat keselamatan masing-masing di JIM Sabah dan Sarawak dipalsukan pada 2019 dan 2017, berikutan salah guna ID dan pencerobohan pada rangkaian.

Sehubungan itu, bagi mengatasi kelemahan dibangkitkan, pihak audit mengesyorkan beberapa langkah kepada JIM Sabah dan Sarawak antaranya memastikan pengeluaran PLKS mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan supaya tidak mendedahkan negara kepada risiko keselamatan dan penularan penyakit berjangkit.

Selain itu, JIM kedua-dua negeri disyorkan untuk mengemas kini kawalan rekod COM pekerja asing keluar dari negara di samping mempertingkatkan kawalan Sistem MyIMMs bagi mengatasi masalah pencerobohan yang memberi kesan kepada operasi JIM dan keselamatan negara secara keseluruhan. - Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 4:16 PM