FOTO hiasan
FOTO hiasan
Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


PASUKAN petugas khas ditubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneliti pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum sebarang tindakan diambil jika terdapat unsur rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan Jabatan Audit Negara sudah memberi taklimat kepada pihaknya berhubung LKAN 2018 Siri 1 termasuk menerima laporan penuh audit itu, semalam.

Katanya, pihaknya akan memberi tumpuan kepada beberapa perkara termasuk membabitkan prosedur dan tatatertib yang mungkin tidak cukup serius untuk SPRM menyiasat, tetapi ada syor tertentu dikemukakan kepada jabatan berkenaan.

“Jabatan Audit Negara juga mengenal pasti beberapa isu di mana SPRM boleh masuk (siasat)...jadi kita sudah menubuhkan task force (pasukan petugas khas) untuk melihat LKAN bertujuan mengambil tindakan.

“Pendedahan mengenai salah tadbir dana berjumlah jutaan ringgit disalurkan kepada Unit Khas bagi Program Pembangunan Sosioekonomi (SEDIC) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan isu tuntutan palsu di Jabatan Pendidikan Terengganu antara dalam penelitian SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama akhbar dan stesen televisyen kumpulan Media Prima di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Latheefa berkata, pihaknya turut meneliti pendedahan LKAN mengenai manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Jadi, beri kami ruang untuk menyiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 4:40 PM