Panah besi yang dirampas PPM Labuan selepas menahan sebuah bot nelayan bersama sembilan warga asing di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu. Foto Ihsan PPM
Panah besi yang dirampas PPM Labuan selepas menahan sebuah bot nelayan bersama sembilan warga asing di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu. Foto Ihsan PPM
Fardy Bungga


PASUKAN Polis Marin (PPM) Labuan berjaya menahan sebuah bot nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan panah, semalam.

Dalam operasi kira-kira 6 petang itu, bot yang dinaiki warga asing itu ditahan di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu dekat Labuan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot nelayan itu ditahan dalam tugasan rondaan ‘Op Gelora Khas’ yang dijalankan di kawasan perairan berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot nelayan jenis pancing dengan pendaftaran JN 8233/2/F itu dinaiki sembilan orang lelaki warga asing berusia antara 23 tahun hingga 44 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kumpulan nelayan berkenaan melakukan kesalahan menangkap ikan menggunakan panah besi serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kapal berkenaan bersama peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM114,820 itu kemudiannya dirampas untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, bot nelayan itu bersama awak-awak kapal kemudiannya diiringi ke jeti awam Kuala Penyu.

Katanya, kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kuala Penyu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Pajeri menegaskan PPM akan sentiasa menjalankan operasi di perairan dan pesisir pantai bagi memastikan keselamatan negara selain membanteras aktiviti jenayah termasuk penyeludupan.

Menurutnya, kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat sangat diperlukan untuk tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 6:37 PM