PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot nelayan kapal tunda dalam operasi Op Gelora disyaki beroperasi di kawasan tidak dibenarkan di perairan Tanjung Merangis, Pulau Gaya. FOTO Ihsan PPM
PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot nelayan kapal tunda dalam operasi Op Gelora disyaki beroperasi di kawasan tidak dibenarkan di perairan Tanjung Merangis, Pulau Gaya. FOTO Ihsan PPM
Fardy Bungga


SEBUAH bot nelayan kapal tunda ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tanjung Merangis, Pulau Gaya, di Kota Kinabalu, selepas didapati beroperasi di kawasan tidak dibenarkan, semalam.

Dalam operasi Op Gelora yang dijalankan kira-kira 12 tengah hari itu, kapal tunda berkenaan didapati beroperasi di kedudukan kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota PPM yang sedang meronda untuk memantau kawasan perairan berkenaan.

Katanya, ketika melalui kawasan perairan berkenaan, kapal tunda berkenaan didapati sedang menangkap ikan di kedudukan yang sangat hampir dengan persisiran pantai Pulau Gaya.

“Pemeriksaan seterusnya dilakukan dan mendapati bot nelayan itu memukat ikan pada jarak yang tidak dibenarkan mengikut lesen yang dikeluarkan kepada bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai jenis ikan yang dianggarkan seberat 3 kilogram dan pelbagai jenis udang dianggarkan seberat 20 kilogram dipercayai hasil daripada kegiatan memukat di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, semua awak-awak dan juragan bot berkenaan yang ditahan berusia lingkungan 20-an.

“Semua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Pangkalan PPM Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Jumlah keseluruhan rampasan yang membabitkan harga bot tunda, pukat gulung dan pelbagai jenis ikan dianggarkan bernilai RM330,000,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, kes diserah kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan untuk disiasat mengikut Seksyen 8 (B) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat lesen Perikanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 9:42 AM