Bot nelayan yang dirampas dalam Ops Gelora di perairan Pelabuhan Lahad Datu hari ini. Foto Ihsan PPM
Bot nelayan yang dirampas dalam Ops Gelora di perairan Pelabuhan Lahad Datu hari ini. Foto Ihsan PPM
Hazsyah Abdul Rahman

PADAH menangkap ikan menggunakan pukat kurang tiga batu nautika dari pantai, sebuah bot nelayan dirampas dalam Ops Gelora di perairan Pelabuhan Lahad Datu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, hasil laut seberat 10 kilogram dan pukat yang dianggarkan bernilai RM45,100 turut dirampas.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot nelayan itu dikesan bot PPM Lahad Datu yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan terbabit.

Menurutnya, sebaik dihampiri juragan bot didapati sedang leka menangkap ikan di perairan kurang tiga batu nautika dari pantai.

“Perbuatan juragan itu melanggar syarat lesen iaitu perlu menangkap ikan di perairan lebih tiga batu nautika.

“Kami tidak berkompromi terhadap kesalahan dilakukan kerana ia sangat berbahaya kepada nelayan kecil dan boleh merosakkan ekosistem serta batu karang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke jeti PPM Lahad Datu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen.

#kw nelayan, rampas, PPM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 6:44 PM