ANGGOTA PPM meneliti dokumen nelayan yang ditahan. FOTO Ihsan PPM
ANGGOTA PPM meneliti dokumen nelayan yang ditahan. FOTO Ihsan PPM
Norasikin Daineh


EMPAT termasuk dua pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam dua operasi berasingan di perairan Labuan, semalam.

Operasi bermula 7.30 pagi itu berjaya menahan dua lelaki yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan dua nelayan yang melanggar syarat lesen Akta Perikanan 1985.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika anggotanya menjalankan tugas Ops Gelora, sebuah bot nelayan ditahan di kawasan laut Pulau Enoe, manakala sebuah lagi ditahan di kawasan laut Petronas Methanol Labuan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terhadap salinan lesen perikanan bot nelayan terbabit sudah tamat tempoh dan dua nelayan masing-masing berusia 25 dan 29 tahun itu terpaksa ditahan bersama bot serta 70 kilogram hasil tangkapan ikan mereka.

“Dalam operasi sama, PPM turut berjaya menahan seorang lagi lelaki yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Hasil maklumat lanjut, lelaki berusia 22 tahun itu mengaku baru sebulan bekerja sebagai kru bot nelayan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, dalam satu operasi berasingan pasukannya berjaya menahan seorang lelaki PATI berusia 20 tahun.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Labuan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 11 (1) (b) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 11:07 AM