CHOO Kiong. FOTO Arkib NSTP
CHOO Kiong. FOTO Arkib NSTP
Mohd Hafizee Mohd Arop


EXCO kerajaan Perak yang disiasat selepas didakwa merogol pembantu rumahnya warga Indonesia tampil memberi kenyataan kepada media dengan menafikan tuduhan dihadapinya.

Tanpa berselindung lagi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong, memberikan kenyataan itu melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Choo Kiong berkata, dia terkejut serta keliru dengan tuduhan palsu yang dilemparkan terhadapnya itu dan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas itu.

“Saya ingin menekankan bahawa saya langsung tidak pernah merogol, mencabul kehormatannya atau melakukan apa-apa gangguan terhadap dia.

“Bagi membersihkan diri saya daripada pertuduhan bersifat fitnah itu, saya sudah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan membawa saksi untuk membantu siasatan polis bagi menunjukkan bahawa ia adalah pertuduhan fitnah semata-mata.

“Dalam masa sama, saya akan menghormati proses undang-undang yang sewajarnya dan mempercayai polis akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus. Saya percaya bahawa kebenaran akan mengatasi kebatilan,” katanya kepada media, hari ini.

Harian Metro melaporkan, seorang EXCO di negeri ini berusia 49 tahun disiasat polis selepas disyaki merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Difahamkan, mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas dipercayai dirogol di kediaman lelaki itu di Meru, Ipoh.

Berita berkaitan

Pembantu rumah ditempatkan di tempat selamat

Exco Perak disyaki rogol pembantu rumah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 2:22 PM