Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Mohd Hafizee Mohd Arop


EXCO kerajaan Perak yang disiasat selepas didakwa merogol pembantu rumahnya warga Indonesia tampil memberikan kenyataan kepada media.

EXCO berusia 49 tahun itu dalam kenyataannya menafikan melakukan perbuatan itu.

Katanya, dia tidak pernah melakukan perbuatan sebagaimana didakwa dan menafikan tuduhan fitnah itu.

“Biarlah polis menjalankan siasatan dan saya akan memberi kerjasama sepenuhnya.

“Saya percaya polis bersikap profesional dan telus dalam siasatan itu,” katanya dalam kenyataan yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp kepada media hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan, seorang EXCO Perak disiasat polis selepas disyaki merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Difahamkan, mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas dipercayai dirogol di kediaman lelaki itu di Meru, Ipoh.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman Asisten Komisioner Choo Lily mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Exco Perak disyaki rogol pembantu rumah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 8:15 PM