LAPORAN portal Harian Metro  mengenai  EXCO Perak berusia 49 tahun disiasat polis selepas disyaki merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai EXCO Perak berusia 49 tahun disiasat polis selepas disyaki merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.
Mohd Hafizee Mohd Arop


PEMBANTU rumah warga Indonesia yang mendakwa dirogol seorang EXCO kerajaan Perak kini ditempatkan di tempat selamat sehingga siasatan selesai.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, mangsa berusia 23 tahun itu akan ditempatkan di situ sehingga kertas siasatan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwa Raya.

Menurutnya, polis juga sudah menjalankan siasatan di rumah EXCO berkenaan di Meru, Ipoh dan mengambil beberapa barang bukti untuk dianalisa.

Katanya, rakaman percakapan beberapa saksi berkaitan turut diambil termasuk ahli keluarga EXCO terbabit.

“Bagi melengkapkan siasatan, polis sudah membuat tangkapan terhadap EXCO berkenaan semalam dan membuat pemeriksaan doktor terhadapnya bagi tujuan siasatan.

“Selepas selesai, suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Razarudin berkata, polis sebelum itu menerima laporan dari mangsa kelmarin mendakwa dirogol majikannya sebelum siasatan dijalankan dengan merakam percakapan mangsa.

“Mangsa juga sudah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan doktor.

“Berdasarkan bukti awal siasatan, polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang EXCO Perak berusia 49 tahun disiasat polis selepas disyaki merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Berita berkaitan

Exco Perak disyaki rogol pembantu rumah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 1:54 PM