AKSI antara Jepun dan New Zealand dalam saingan PSAS sebentar tadi. FOTO L MANIMARAN
AKSI antara Jepun dan New Zealand dalam saingan PSAS sebentar tadi. FOTO L MANIMARAN
Saiful Affendy Sapran


Ipoh: Apa sudah berlaku kepada pilihan utama, New Zealand selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-4 di tangan Jepun pada aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) hari ini.

Ketika pasukan yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris itu dilihat tidak berdepan masalah untuk menewaskan Jepun, sebaliknya skuad bimbingan Yoshihiro Anai yang menduduki ranking ke-16 dunia pula mempamer corak permainan kemas sekali gus meraih tiga mata penuh.

"New Zealand mempunyai kelebihan dari sudut fizikal tetapi barisan pemain saya beraksi dengan permainan tersusun. Fokus utama perlawanan hari ini adalah untuk memperkuatkan barisan pertahanan dan ia nampaknya menjadi.

"Kami juga fokus kepada serangan balas yang berkesan, hantaran yang tepat serta kerjasama berpasukan yang baik dan kesemuanya dapat diterapkan oleh setiap pemain hari ini," kata Anai pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Jepun yang sedang melakukan persiapan rapi untuk Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, di depan pada minit ke-13 menerusi gol padang Naru Kimura sebelum Raiki Fujishima menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-23.

Tsubasa Tanaka yang baharu melakukan penampilan kedua bersama skuad Jepun, menjaringkan gol ketiga minit ke-43 menerusi jaringan padang.

Ia juga adalah gol kedua Tsubasa di kejohanan ini selepas turut menyumbang satu gol ketika Jepun menewaskan Korea Selatan 2-1, semalam.

Scott Cosslett melegakan sedikit keresahan New Zealand apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-55 namun Ken Nagayoshi mengesahkan kemenangan Jepun dengan gol keempat minit terakhir perlawanan.

Jepun yang sudah meraih dua kemenangan dalam dua perlawanan akan bertemu Pakistan pada perlawanan ketiga Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 7:39 PM