Mohd Hafizee Mohd Arop


SEORANG EXCO kerajaan negeri Perak ditahan, malam tadi, susulan laporan polis dibuat terhadapnya atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya menahan suspek bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit.

“Untuk siasatan yang adil, polis sudah menahan orang disyaki semalam bagi membantu siasatan.

“Polis juga akan ambil percakapan dan pemeriksaan doktor dan beri jamin lepas siasatan selesai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Razarudin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan media berhubung perkembangan lanjut kes berkenaan, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang EXCO di negeri ini disiasat polis selepas disyaki merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Difahamkan, mangsa berusia 20-an tampil membuat laporan polis semalam selepas dipercayai dirogol di kediaman lelaki itu di Meru, Ipoh.

Berita berkaitan

Tuduhan berunsur fitnah

Exco Perak disyaki rogol pembantu rumah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 8:49 AM