Empat lelaki yang ditahan.
Empat lelaki yang ditahan.

Junaidi Ladjana

[email protected]

TINDAKAN lelaki membaling bom ikan ke arah bot Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dikesan menangkap ikan menggunakan bahan letupan itu, gagal apabila dia bersama tiga rakannya ditahan di perairan Malampaya dekat Lahad Datu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, semua anggota PPM Lahad Datu selamat tanpa sebarang kecederaan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, ketika kejadian, sepasukan anggota PPM melakukan rondaan menggunakan bot pasukan keselamatan itu sebelum terserempak dengan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika itu, bot pam dinaiki empat lelaki melakukan aktiviti bom ikan pada jarak 0.5 batu nautika dari bot pasukan keselamatan.

“Anggota PPM cuba menahan dan memeriksa empat lelaki itu, namun mereka memecut bot dan meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hazani berkata, ketika anggota PPM mengejar semua suspek, mereka membuang beberapa biji botol disyaki bom ikan dan sejumlah ikan dalam guni ke laut.

“Malah, seorang suspek cuba membaling satu objek berapi disyaki bom ikan ke arah bot pasukan keselamatan, namun berjaya dielak.

“Semua suspek ditahan dan pemeriksaan mendapati mereka adalah dari etnik Pala’u (suku nomad tinggal dalam bot) berusia 25 hingga 32 tahun,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Pasukan keselamatan turut merampas bot pam dan beberapa barang yang digunakan dalam aktiviti berkenaan seperti dua unit mesin pemampat dan peralatan lain yang dibuang ke laut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana cuba mengancam keselamatan penjawat awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 12:31 PM