ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PPM
ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki kerana disyaki memiliki peralatan dan bahan letupan di kawasan perairan Tanjung Pantau-pantau, Pulau Bum-Bum dekat Semporna, semalam.

Dalam kejadian 12 tengahari itu, perahu yang dikendalikan suspek berumur 45 tahun yang dipercayai etnik Pala’u itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) di kawasan berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan dalam ruangan perahu terbabit telah menemui beberapa peralatan antaranya bahan peledak (detonator), baja ammonia dan botol kaca yang dipercayai digunakan untuk membuat bahan letupan.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku memiliki kemahiran dalam membuat bahan letupan untuk digunakan dalam kegiatan dan aktiviti menangkap ikan.

“Suspek kemudiannya ditangkap bersama barang rampasan termasuk perahu dan satu unit enjin pam dianggarkan berjumlah RM6,563 dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan membuat, memiliki bawah jagaannya bahan letupan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dari 7 tahun atau denda tidak lebih dari RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya komuniti nelayan supaya menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan kerana aktiviti itu bukan sahaja melanggar undang-undang malah memusnahkan hidupan dan ekosistem di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 9:37 AM