Fardy Bungga


KERAJAAN Negeri Sabah sedia mempertimbangkan cadangan memberi imbuhan kepada pemberi maklumat berhubung aktiviti pemburuan hidupan liar dan pembunuhan hidupan marin dilindungi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, langkah ini mungkin perlu diambil dalam usaha membantu pihak berkuasa memastikan masalah pemburuan haram di negeri ini dapat dibendung.

Katanya, kerjasama dalam kalangan penduduk setempat perlu dalam menyalurkan maklumat yang benar dan kukuh sehingga tertangkapnya dalang kegiatan itu.

“Kita terbuka untuk menerima maklumat yang disampaikan daripada pelbagai pihak namun ia perlu disertakan bukti kukuh bagi memudahkan pihak berkuasa menangkap individu bertanggungjawab.

“Cara ini lebih baik berbanding hanya memuatnaik maklumat itu di laman sosial tanpa melakukan sebarang usaha,” katanya ketika ditemui media selepas Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau mengulas demikian susulan usaha menangani aktiviti pemburuan haram terhadap hidupan liar ekoran penemuan dua bangkai gajah dipercayai angkara pemburu haram di Tawau dan Kinabatangan, baru-baru ini, selain pembunuhan penyu di Semporna.

Sementara itu, mengulas penemuan tujuh lagi bangkai penyu di Pulau Bum-Bum dan Pulau Mabul, Semporna, kelmarin, Masidi berkata, ia masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menolak kemungkinan semua kejadian itu berlaku berikutan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelancong asing untuk dijadikan makanan eksotik dan perubatan.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati terbabit dalam kegiatan ini,” katanya.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan kira-kira 100 rangka penyu ditemui di sekitar Kampung Pantau-Pantau, Kampung Amboh-Amboh dan Kampung Sampilan di Pulau Bum-Bum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 6:35 PM