BACAAN Yassin dan majlis tahlil diadakan ketika perhimpunan pagi. FOTO Facebook Ridzema Naj
BACAAN Yassin dan majlis tahlil diadakan ketika perhimpunan pagi. FOTO Facebook Ridzema Naj
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Kira-kira 800 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohamed Rahmat mengadakan majlis bacaan yassin dan tahlil, hari ini untuk dua pelajarnya yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, semalam.

Pengetua sekolah berkenaan, Rusaini Ahmad berkata, program sempena perhimpunan pagi itu inisiatif sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru bermula 7.15 pagi.

"Kebetulan pagi ini ada perhimpunan dan kesempatan itu digunakan untuk kami mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil terhadap dua pelajar kami yang terbabit kemalangan.

"Dua pelajar kami yang maut iaitu Allahyarham Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14, dan Mohammad Azrie Danish Zulkefli, 14, selain Muhammad Fitri Fatoni, 17, yang cedera," katanya.

Katanya, sebaik majlis itu selesai 8.10 pagi tadi, kutipan derma kilat juga diadakan untuk diserahkan kepada keluarga pelajar terbabit termasuk sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, guru yang berkelapangan juga menziarah rumah kedua-dua keluarga pelajar itu pagi ini masing-masing di Kempas dan Bukit Mutiara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 10:45 AM