GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tidak sampai hati mendengar teman lelaki alam mayanya berdepan masalah kewangan menyebabkan seorang wanita penjawat awam sanggup meminjamkan wang simpanannya berjumlah RM300,000.

Malangnya, wanita berusia 57 tahun yang masih bujang itu bukan saja kehabisan wang simpanannya untuk membantu kekasih yang kononnya dari Amerika Syarikat (AS) itu, malah dia turut menjadi mangsa sindiket Love Scam.

Mangsa sebelum itu berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warga AS yang bekerja dalam bidang petroleum dan gas melalui Facebook pada September tahun lalu, sebelum menjalinkan hubungan cinta secara alam maya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa serius untuk berkenalan dengan lelaki berkenaan apabila mereka bertukar nombor telefon seterusnya berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp.

"Selepas sebulan menjalinkan hubungan cinta, lelaki itu menceritakan kisah sedihnya untuk meraih simpati mangsa sehingga mangsa percaya apa diceritakan.

"Mangsa yang tidak sampai hati mendengar teman lelakinya mempunyai masalah bersetuju untuk menghulurkan bantuan dengan meminjam wang miliknya kepada kekasihnya itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa memasukkan wang secara berperingkat mulai pertengahan Oktober hingga akhir Disember tahun lalu dengan jumlah keseluruhan RM300,000.

Beliau berkata, mangsa percaya wang dipinjamkan itu akan dipulangkan semula lalu dia membuat sebanyak 49 transaksi ke dalam 14 akaun bank tempatan berbeza secara berperingkat.

"Namun begitu, teman lelakinya terus mahu meminjam wang sehingga mangsa sedar sudah terperangkap dengan sindiket penipuan sehingga wang simpanan miliknya habis.

"Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis semalam dan kami sedang menyiasat semua akaun suspek untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Noorzaini berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan janji manis ditawarkan individu tidak dikenali di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 2:21 PM