Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shamsul Munir Safini


HASRAT dua individu untuk melaram pada Aidilfitri minggu depan tidak kesampaian selepas mereka kerugian lebih RM7, 000 ditipu sindiket pinjaman wang haram dalam kejadian berasingan yang hanya disedari kelmarin.

Dalam dua kejadian berasingan itu, keranai dan pengganggur berusia 32 dan 21 tahun masing-masing kerugian RM3,289 dan RM3,850 ditipu sindiket pinjaman haram yang diiklankan melalui pesanan ringkas (SMS) dan media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian antara 17 Mei hingga semalam itu kedua-dua mangsa mendakwa melihat iklan yang menawarkan pinjaman wang melalui laman Facebook dan SMS.

“Kedua-dua mangsa mempunyai masalah CCRIS dan mengalami maslaah untuk membuat pinjaman bank dan suspek mendakwa boleh memberikan mereka pinjaman wang segera.

“Mangsa percaya dengan proses pinjaman pantas yang ditawarkan suspek malah, sindiket juga memberitahu bahawa mereka tidak perlu bersemuka untuk membuat permohonan,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun diminta untuk membuat beberapa bayaran pendahuluan kononnya bagi tujuan pemprosesan, bayaran peguam, ‘stamping’, dan pelbagai lagi.

Katanya, mangsa percaya dengan arahan suspek dan membuat beberapa bayaran berperingkat ke akaunnya dengan harapan akan menerima wang pinjaman.

Menurutnya, mangsa tidak pernah berjumpa dengan suspek dan modus operandi sindiket ini hanya beroperasi melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp bagi mengelak identiti mereka dikenal pasti.

“Mangsa hanya sedar ditipu apabila gagal menerima sebarang wang pinjaman sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak polis menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang iklan di laman sosial yang menawarkan pinjaman wang,” katanya.

Menurutnya, sindiket ini beroperasi secara rambang dengan meletakkan iklan di laman sosial media Facebook dan kebanyakan mangsa adalah individu yang mahu menggunakan wang dengan cepat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 11:10 PM