JAMBATAN Angkat yang menghubungkan antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. FOTO arkib NSTP
JAMBATAN Angkat yang menghubungkan antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. FOTO arkib NSTP
Hanneeyzah Bariah Baharin


DATUK Seri Ahmad Said yang mencetuskan idea pembinaan Jambatan Angkat atau ‘drawbridge’, mahu kerajaan negeri memilih operator yang benar-benar layak mengendalikan operasi restoran mewah di tingkat 14 menara jambatan berkenaan.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berharap kerajaan negeri tidak memilih operator yang salah bagi menjaga nama baik dan prestij jambatan ikonik berkenaan, yang kini menjadi sebutan dan kebanggaan negara terutama penduduk negeri ini.

“Kita harap kerajaan negeri buat pilihan operator tepat terutama yang boleh mengendalikan restoran semua jenis masakan termasuk barat dan tradisional.

“Seperti mana bangunan Menara KL dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang menggamit pelancong dalam dan luar negara, sama juga halnya dengan Jambatan Angkat ini yang meniti di bibir ramai sebagai mercu tanda ikonik baharu di Terengganu.

“Besarlah harapan kita supaya antara matlamat pembinaannya untuk dijadikan tarikan pelancongan tercapai dan kerajaan negeri serta penduduk boleh menjana lebih pendapatan dengannya,” katanya kepada NSTP hari ini.

Beliau berharap tiada sebarang masalah timbul membabitkan operator restoran mewah itu kelak, seperti berhenti separuh jalan atau gagal menyediakan makanan menepati piawaian antarabangsa berikutan jambatan itu turut mendapat perhatian negara luar.

“Harap janganlah ada sebarang masalah nanti dan tolonglah lakukan yang terbaik demi menjaga nama Terengganu dan prestij jambatan itu,” katanya.

Ahmad juga berharap Jambatan Angkat itu dapat memberi manfaat menyeluruh kepada penduduk negeri ini khususnya di Kuala Terengganu, terutama dalam mengurangkan kesesakan trafik yang sering berlaku pada musim cuti dan perayaan.

Beliau yang belum sempat meninjau pembukaan Jambatan Angkat yang kini dalam tempoh percubaan sehingga 17 Jun ini mengakui gembira dengan maklum balas warga negeri ini terhadap kejayaan pembinaan mercu tanda baharu Terengganu itu.

Idea pembinaan Jambatan Angkat dizahirkan Ahmad sebagai sebahagian komponen dalam projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang disasarkan menarik pelaburan keseluruhan berjumlah RM3.9 bilion, dengan RM3.5 bilion adalah daripada sektor swasta.

Pembinaan jambatan unik itu adalah sebahagian daripada projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai pemaju KTCC membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di tanah air serta Asia Tenggara.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu.

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan serta boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal, disasarkan menjadi satu lagi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 3:03 PM