Nama jambatan angkat akan diumum Julai ini. FOTO Ghazali Kori
Nama jambatan angkat akan diumum Julai ini. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


NAMA rasmi jambatan angkat atau ‘drawbridge’ sudah di peringkat akhir perbincangan dan akan diumumkan Julai ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, nama rasmi yang dipilih untuk dinamakan pada jambatan ikonik pertama di negara ini akan diumumkan pada majlis perasmian jambatan itu kelak.

“Kita ada terima cadangan nama rasmi jambatan angkat itu dan kita sedang perhalusi serta teliti daripada pelbagai aspek sebelum memilih yang terbaik.

“Kita akan umumkan nama rasmi itu pada hari perasmian jambatan angkat pada tarikh yang akan ditentukan nanti,” katanya ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di perkarangan Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Lebih 10,000 penduduk negeri itu hadir pada majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan mengenal pasti sebarang masalah atau aspek lain yang perlu penambahbaikan selepas tempoh percubaan jambatan angkat itu ditutup 17 Jun ini.

“Selepas tamat 15 hari jambatan angkat itu dibuka untuk percubaan, kita akan lihat aspek yang perlu diperbaiki termasuk penambahan papan tanda dan sebagainya,” katanya.

Pembinaan jambatan unik itu adalah sebahagian daripada projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di tanah air serta Asia Tenggara.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan serta boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal, bakal menjadi satu lagi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 5:14 PM