ANTARA peserta yang menyertai program Terengganu Drawbridge Tower Run sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2020. FOTO IMRAN MAKHZAN
ANTARA peserta yang menyertai program Terengganu Drawbridge Tower Run sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2020. FOTO IMRAN MAKHZAN
Zatul Iffah Zolkiply


JAMBATAN ikonik Terengganu, jambatan angkat menjadi lokasi ‘pembukaan’ sambutan ambang Tahun Baharu 2020 di Terengganu malam ini, apabila seramai 523 orang menyertai program Terengganu Drawbridge Tower Run.

Larian sejauh tiga kilometer (km) dan lapan km itu berjaya menarik peserta daripada pelbagai peringkat usia bagi memeriahkan lagi sambutan ambang tahun baharu.

Terdahulu, larian mendaki tangga menara jambatan angkat turut diadakan buat kali pertama pada jam 5 petang ini.

Pelbagai hadiah menarik disediakan bagi peserta bertuah bagi memeriahkan lagi sambutan berkenaan.

Program yang julung kali diadakan TI Properties Sdn Bhd dan Experience Terengganu itu memulakan larian jam 9 malam dengan majlis pelepasan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud.

Terdahulu, Khalizan berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan larian di jambatan itu bagi menyemarakkan sambutan tahun baharu.

“Aktiviti larian memang sinonim di negeri ini dan ada peminatnya jadi kita menggunakan kesempatan itu sebagai pengisian.

“Kita pilih aktiviti larian sebagai pengisian program sebagai antara usaha menggalakkan cara hidup sihat,” katanya.

Pembinaan jambatan unik yang juga sebahagian projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di tanah air dan Asia Tenggara.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan dan boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 10:08 PM