Mohd Aizat Shamsuddin


JAMBATAN angkat atau ‘draw-bridge’ yang menjadi mercu tanda baharu Terengganu akan dibuka kepada orang ramai untuk tempoh percubaan dari 2 hingga 17 Jun ini sempena Aidilfitri.

Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Datuk A Rahman Yahya berkata, jambatan itu kini dalam proses terakhir untuk memastikan kelancaran perjalanan apabila dibuka nanti.

“Selepas tamat tempoh percubaan, jambatan ini ditutup semula untuk kita lihat balik operasinya.

“Kemungkinan jambatan ini dibuka sepenuhnya hujung Jun nanti dan kini kerja akhir giat diusahakan termasuk pemasangan papan tanda untuk memastikan kelancaran perjalanan apabila dibuka nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu, hari ini.

Dengan pembukaan jambatan angkat itu, ia dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang sering dihadapi pada musim perayaan di bandar raya itu.

Jambatan angkat atau 'draw-bridge' dibuka untuk tempoh percubaan dari 2 hingga 17 Jun ini. FOTO Bernama
Jambatan angkat atau 'draw-bridge' dibuka untuk tempoh percubaan dari 2 hingga 17 Jun ini. FOTO Bernama

Pembinaan jambatan unik itu adalah sebahagian projek ECER membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan dan boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 3:15 PM