YUSSOF (duduk lima dari kiri) mewakili 45 NGO Melayu Pulau Pinang menggesa kerajaan Pulau Pinang mengkaji dan meneliti pandangan semua pihak mengenai projek PSR dan PIP pada sidang media di bangunan PEMENANG, Georgetown.
YUSSOF (duduk lima dari kiri) mewakili 45 NGO Melayu Pulau Pinang menggesa kerajaan Pulau Pinang mengkaji dan meneliti pandangan semua pihak mengenai projek PSR dan PIP pada sidang media di bangunan PEMENANG, Georgetown.
Zuhainy Zulkiffli


SEBANYAK 45 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mendesak campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu pembinaan Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Ia berikutan dikhuatiri strategi kerajaan negeri untuk menjual tanah di tiga pulau binaan sebagai modal bagi menampung kos pelan induk pengangkutan (PIP) akan menjejaskan kedudukan sosio-ekonomi 10,000 nelayan terutama yang bergerak secara tradisional di Pulau Pinang dan utara Perak.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Yussof Latiff berkata, selain memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan orang awam, kewujudan tiang raksasa projek Lebuh Raya Pan Island Link (PIL1) akan meningkatkan pencemaran air, udara dan bunyi.

Katanya, projek pembinaan terowong dasar laut dan tiga jalan raya berkembar juga akan mengancam kira-kira 15 perkampungan termasuk Kampung Baru, Kampung Manggis, Kampung Pisang, Jalan Sungai Pinang selain Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Bahang, Masjid Al-Huda dan Tanah Perkuburan Islam Batu Feringgi.

“Sehubungan itu, satu memorandum akan dihantar secepat mungkin kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) bagi perhatian mereka serta mendesak penyelesaian isu ini.

“Pembangunan di lereng bukit juga dilihat begitu berleluasa di negeri ini dan sampai bila Pulau Pinang harus ‘didera’ dengan pelbagai projek mega yang menjejaskan ekosistem semula jadi, nilai warisan sejarah serta kesejahteraan manusia?” katanya pada sidang media di Georgetown, semalam.

Terdahulu, Yusoff mengadakan mesyuarat bersama wakil 45 NGO terbabit di Jalan Pemenang, antaranya ialah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMPP), Yayasan Bina Ilmu, Badan Bertindak Ummah, Persatuan Nelayan Pulau Pinang dan Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mohideen Abdul Kadir berkata, kerajaan negeri dilihat sudah tidak selari dengan matlamat mereka yang mahu menyelesaikan isu pengangkutan awam sebaliknya lebih kepada mengaut keuntungan semata-mata.

“Isu pokok, mereka mahu menyediakan kemudahan pengangkutan dan trafik yang terbaik tetapi sebaliknya dengan mudah hendak wujudkan pulau, justeru kita mahu tuntut semula janji itu,” katanya ketika ditemui.

Pembinaan PSR membabitkan kawasan seluas hampir 17 kilometer persegi dengan tiga pulau masing-masing seluas 9.3, 4.45 dan 3.23 km persegi akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas.

Pembinaan pulau buatan itu sebagai modal bagi menampung kos PIP yang dianggarkan bernilai RM46 bilion manakala kos bagi pembinaan PIL 1 sepanjang 19.5 km pula dianggarkan sebanyak RM400 juta bagi setiap kilometer.

Pelbagai pihak tampil bagi membantah projek mega berkenaan namun tiada tindakan diambil dan golongan nelayan antara yang paling teruk terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 6:10 AM