Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (tiga dari kanan) di Pejabat Kerajaan Negeri Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, bersama Penolong Setiausaha Lestari, Mohd Nasarudin Sultan (dua dari kiri) dan nelayan dari unit nelayan Permatang Tepi Laut Fajinah Jaafar (kiri) ketika menyatakan sokongan penduduk terhadap projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR). FOTO IHSAN LESTARI
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (tiga dari kanan) di Pejabat Kerajaan Negeri Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, bersama Penolong Setiausaha Lestari, Mohd Nasarudin Sultan (dua dari kiri) dan nelayan dari unit nelayan Permatang Tepi Laut Fajinah Jaafar (kiri) ketika menyatakan sokongan penduduk terhadap projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR). FOTO IHSAN LESTARI
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lestari Alam Sekitar Pulau Pinang (Lestari) mendakwa pembatalan kelulusan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) bermaksud manfaat bagi nelayan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial tidak dapat disampaikan kepada golongan itu dalam masa terdekat.

Malah, menurut Lestari, aktiviti penambakan dan pembinaan itu juga bakal mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan kepada pengusaha kecil di kawasan berhampiran tapak projek.

Penolong Setiausahanya, Mohd Nasarudin Sultan berkata, pelaksanaan projek mega PSR itu akan mendatangkan banyak kebaikan daripada segi penjanaan ekonomi, terutama dalam keadaan kegawatan akibat penularan Covid-19.

Katanya, penduduk tempatan seperti anak muda yang berminat mencari pengalaman dalam bidang pembinaan juga berpeluang mendapat pekerjaan sebagai anak kapal, pengawal keselamatan, pekerja pembinaan, juruteknik, penyelia tapak, pegawai informasi, kerani dan sebagainya.

"Contoh, orang kampung yang mengusahakan warung berpeluang membekalkan makanan kepada pekerja di tapak manakala bagi yang memiliki bot boleh memberi perkhidmatan pengangkutan semasa fasa penambakan sebagai juru mudi.

"Bagi jangka masa panjang, PSR akan membangunkan tanah perindustrian baru 'Green Tech Park' yang akan menarik pelaburan industri berteknologi tinggi dengan bandar raya pintar yang akan menyumbangkan pelaburan bernilai berbilion ringgit serta mewujudkan ribuan pekerjaan," katanya dihubungi di sini, hari ini.

Susulan itu, Lestari bersama Pengerusinya, Tan Chin Tat dan nelayan daripada unit nelayan Permatang Tepi Laut Fajinah Jaafar menyerahkan senarai nama dan tandatangan 1,521 penduduk kawasan berkenaan yang menyokong projek PSR itu.

Senarai berkenaan diserahkan kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari di pejabat kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Mohd Nasarudin berkata, dalam kalangan senarai nama itu, 435 daripadanya adalah nelayan yang menandatangani secara rela.

Katanya, kempen mengumpul tandatangan sokongan itu dimulakan oleh Fajinah pada bulan lalu selepas mendapat tahu kelulusan EIA bagi projek PSR terbatal dan menjejaskan pelaksanaan projek.

"Ini membuktikan bahawa ramai penduduk setempat di kawasan berhampiran PSR sebenarnya mengalu-alukan pelaksanaan projek itu kerana mereka tahu PSR akan menjana ekonomi serta mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan.

"Jika masih perlu, kami akan terus mengumpul tandatangan berkenaan dan ia dilakukan tanpa paksaan, terpulang sama ada mereka bersetuju atau tidak.

"Kami juga akan jadi orang tengah bagi memastikan hala tuju nelayan dan penduduk selain terus menyampaikan maklumat sahih serta kebaikan PSR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 2:04 PM