Dr Norhizan (kanan) melihat seorang pegawainya mengambil sampel makanan daripada peniaga bazar Ramadan di Pokok Sena. Foto Noorazura Abdul Rahman
Dr Norhizan (kanan) melihat seorang pegawainya mengambil sampel makanan daripada peniaga bazar Ramadan di Pokok Sena. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


JABATAN Kesihatan Kedah sudah mengeluarkan sebanyak 211 notis kompaun kepada premis makanan dan juga pembekal bahan mentah kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Pra Ramadan yang bermula sejak April lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah pengendali dan pekerja tidak mendapatkan suntikan anti tifoid dan tahap kebersihan tidak memuaskan.

Menurutnya, kompaun itu dikeluarkan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan di 240 premis makanan dan pembekal bahan mentah termasuk lima buah kilang ais di seluruh negeri.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 16 premis diarahkan tutup kerana beroperasi dalam keadaan kotor.

“Operasi juga membabitkan rampasan terhadap barang-barang yang mempunyai kesalahan tarikh luput, rosak dan perlabelan yang bernilai RM4,743,” katanya kepada media selepas membuat pemeriksaan dan promosi keselamatan makanan di bazar Ramadan di Pokok Sena, hari ini.

Mengulas lanjut, Norhizan berkata, operasi itu akan diteruskan sepanjang Ramadan termasuk mengambil sampel makanan bagi memantau status kebersihan makanan yang dijual.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya keputusan analisa sampel makanan terbabit tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Mengikut rekod pada tahun lalu, tiada kes keracunan dilaporkan berpunca dari bazar Ramadan, malah menerusi sampel makanan yang diambil tahun lalu juga mendapati semuanya dalam keadaan baik.

“Setakat hari ketiga Ramadan, kami belum menerima aduan keracunan makanan dari bazar dan selepas ini kami akan meneruskan operasi di 87 Bazar Ramadan seluruh negeri dan berharap peniaga bertanggungjawab mengendali makanan secara bersih dan mengikut peraturan yang ditetapkan jabatan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa sebelum makan bagi mengelak keracunan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 6:26 PM