PETIKAN video tular menunjukkan ulat dalam makanan yang dijual di gerai mee.
PETIKAN video tular menunjukkan ulat dalam makanan yang dijual di gerai mee.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengeluarkan notis penutupan terhadap peniaga mi tonggek yang tular kerana terdapat ulat dalam makanan dijual.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana didapati tidak bersih.

Katanya, pemilik gerai perlu mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan beroperasi semula.

"BKKM sudah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap gerai yang menjual mi tonggek berkenaan.

"Selain tindakan penutupan, kompaun turut dikeluarkan terhadap seorang pekerja yang didapati tidak mengambil suntikan anti-tifiod. Tiga sampel turut diambil di gerai terbabit bagi tujuan analisis mikroorganisma dan bendasing.

"Siasatan oleh pihak KKM juga mendapati peniaga berkenaan mempunyai sebuah premis makanan yang beroperasi di Cyberjaya di mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar itu.

"KKM akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan di premis berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, video mi goreng bersama sotong yang dibeli di Bazar Ramadan Putrajaya mempunyai ulat tular di media sosial.

Dalam pada itu, mengenai isu gumpalan rambut dalam kuih limas, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan ke atas pengeluar kuih limas berkenaan bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.

Beliau turut memaklumkan sehingga kini, menerusi Operasi Ramadan 2022 di seluruh negara, 4,362 premis Bazar Ramadan sudah diperiksa dan 77 notis kompaun dengan nilai RM38,500 dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 10:46 AM