Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menggerakkan seramai 366 penguat kuasa bagi memantau tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual kepada pengguna di seluruh bazar Ramadan.

Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesemua penguat kuasa yang terdiri daripada 106 pasukan operasi juga akan memastikan seramai 7,914 pengendali makanan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, terdapat 61 lokasi bazar Ramadan membabitkan 3,941 petak yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri tahun ini.

"Setakat Sabtu, kami sudah melawat 53 tapak bazar di seluruh negeri Terengganu dan tujuh kompaun dikeluarkan ke atas kesalahan sama ada menggaji pengendali yang tiada latihan dan tiada suntikan anti tifoid.

"Kesemua kompaun bernilai RM1,100 itu dikeluarkan di Dungun dan pemeriksaan serta pemantauan akan diteruskan sehingga akhir Ramadan.

"Selain bazar Ramadan, JKNT akan menjalankan pemeriksaan di pasar raya, kedai runcit dan lain-lain pembekal bahan mentah bagi memastikan bahan mentah yang dibekalkan adalah bersih dan selamat," katanya.

Dr Kasemani Embong (dua kanan) menyampaikan risalah keselamatan kepada peniaga semasa lawatan ke Bazar Ramadan Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
Dr Kasemani Embong (dua kanan) menyampaikan risalah keselamatan kepada peniaga semasa lawatan ke Bazar Ramadan Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Ops Keselamatan Makanan Sempena Ramadan 1444H/2023M Peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Gong Badak di sini semalam.

Dr Kasemani turut menyeru pengguna untuk segera melakukan aduan sekiranya terdapat makanan basi atau tidak masak.

"JKNT ada mewujudkan dua QR Code bagi tujuan hebahan informasi keselamatan makanan serta bagi mengumpul maklum balas tentang tahap kebersihan premis sepanjang Ramadan ini.

"Justeru, orang ramai boleh membuat imbasan kod QR yang terdapat di bazar Ramadan atau laman facebook JKNT untuk menyalurkan maklum balas berkenaan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 9:09 AM