HARIMAU Belang antara haiwan dilindungi. FOTO Izhari Ariffin.
HARIMAU Belang antara haiwan dilindungi. FOTO Izhari Ariffin.
Samadi Ahmad


KEMENTERIAN Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dalam proses menggubal undang-undang baru bagi menangani pemburuan haram boleh menyebabkan kepupusan haiwan liar dilindungi sepenuhnya di negara ini.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, kerajaan kini dalam proses untuk memperkasakan undang-undang sedia ada.

Menurutnya kerajaan mengisytiharkan perang terhadap pemburu haram sebagai agenda nasional dalam komitmennya untuk memastikan spesies Harimau Malaya tidak pupus.

Dr Xavier berkata, ketika ini, Seksyen 68 (1) (c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) memperuntukkan hukuman denda maksimum hingga RM500,000 dan penjara lima tahun.

Katanya, proses pindaan Akta itu dimulakan pada awal tahun 2017 dan dijangka siap pada Julai ini untuk dibentangkan di Parlimen.

“Akta berkenaan dijangka dilaksanakan pada awal 2020 dengan mengenakan hukuman lebih berat denda maksimum sehingga RM1 juta dan penjara 10 tahun,” katanya selepas merasmikan Ops Belang di Paya Indah Wetlandas, Dengkil, hari ini.

Ops Belang dilancarkan bagi menggantikan program Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (MBEON).

Program dimulakan pada 2014 sehingga 2018 itu bertujuan menguatkuasakan dan membanteras pencerobohan kawasan perlindungan serta pemburuan haram hidupan liar.

Katanya, pasukan petugas akan menjalankan operasi di enam kawasan kerap berlaku pencerobohan seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak dan Kedah.

“Operasi ini dianggap penting memandangkan semakin banyak perangkap digunakan untuk menjerat haiwan dan peningkatan kes manusia menceroboh habitat harimau.

“Usaha penguatkuasaan ini menampakkan hasil apabila kita berjaya menahan dua penceroboh dan pemburu haram warganegara Vietnam di Taman Negara Terengganu minggu lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 4:26 PM