Dr Mashitah (belakang, tiga dari kiri) bersama penyumbang dalam penyerahan buku dan rak buku yang berlangsung di Pusat Sehenti Komuniti KP House Kuala Pahang. Foto Ihsan UMP
Dr Mashitah (belakang, tiga dari kiri) bersama penyumbang dalam penyerahan buku dan rak buku yang berlangsung di Pusat Sehenti Komuniti KP House Kuala Pahang. Foto Ihsan UMP
Shahrinnahar Latib


UNIVERSITI Malaysia Pahang (UMP) mewujudkan perpustakaan mini di Pusat Sehenti Komuniti KP House (KP House) dekat Kuala Pahang, bagi memupuk minat membaca dalam kalangan penduduk setempat.

Perpustakaan mini itu hasil kolaborasi strategik Perpustakaan UMP yang berjaya mengumpulkan pelbagai jenis buku hasil sumbangan orang ramai dan Perpustakaan Awam Daerah Pekan.

Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Kualiti) UMP Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff berkata, perpustakaan itu turut memberi kemudahan menerusi Program Pinjaman Buku Berkelompok kepada penduduk setempat.

“Program ini mendapat kerjasama Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) yang menyumbang kemudahan rak buku dan sokongan Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Kualiti (JHKK) UMP serta Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada Timbalan Ketua Pustakawan Siti Aishah Ghani, Setiausaha MATAHARI Mimi Rabita Abdul Wahit dan wakil Perpustakaan Awam Daerah Pekan Hisyam Hashim.

Beliau berharap dengan adanya perpustakaan itu akan memberi semangat buat golongan muda di kawasan sekitar pekan Kuala Pahang menimba ilmu.

“Ia juga seiring dengan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada tahun lalu dengan mensasarkan Malaysia sebagai ‘Negara Membaca’ menjelang 2030,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 1:42 PM