MOHAMMAD Ahmad Shazly (kanan) memberi taklimat berhubung operasi Petronas dalam penerokaan minyak dan gas di galeri mini Petronas di PAPK Kemaman. - FOTO ROSLI ILHAM
MOHAMMAD Ahmad Shazly (kanan) memberi taklimat berhubung operasi Petronas dalam penerokaan minyak dan gas di galeri mini Petronas di PAPK Kemaman. - FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham

Selaras usaha menyampaikan maklumat berkaitan industri minyak dan gas, Petronas Pantai Timur mewujudkan sebuah galeri mini di Perpustakaan Awam Pekan Kerteh (PAPK), Kemaman.

Galeri mini yang terletak di tingkat satu bangunan PAPK itu memulakan operasinya pada 16 Oktober lalu.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, galeri mini ini salah satu bentuk sokongan berterusan Petronas di dalam aspek pembangunan modal insan kepada komuniti setempat.

"Memandangkan daerah Kemaman yang sinonim dengan industri minyak dan gas, maka sewajarnya masyarakat sekitar didedahkan dengan maklumat berkaitan Petronas dan industri tenaga khususnya dalam sektor minyak dan gas.

"Selain memberi pendedahan berhubung industri berkenaan, ia juga diharapkan mampu menarik minat masyarakat terutama golongan pelajar kepada mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," katanya.

Mohammad Ahmad Shazly berkata, galeri mini itu merangkumi sudut pameran dan sudut perbincangan santai.

Image

"Sudut pameran ini terdiri daripada panel bermaklumat yang memaparkan informasi berkaitan sejarah perkembangan Petronas, operasi Petronas dalam dan luar negara, peranan Petronas kepada negara serta aspirasi Petronas kepada kelestarian alam sekitar.

"Manakala ruang perbincangan santai pula dilengkapi dengan peralatan audio visual, beg kekacang, kerusi, meja, permaidani, rak buku dan bahan bacaan berkaitan Petronas ," katanya.

Sementara itu, Penolong Pustakawan PAPK, Nik Dzuhaniff Nik Dasuzi berkata, beliau berterima kasih di atas kerjasama Petronas di dalam mewujudkan galeri mini tersebut.

"Bangunan baru PAPK bernilai RM3 juta ini siap pada tahun lalu dan mula beroperasi 15 Februari 2022.

"Kehadiran orang ramai ke PAPK sangat memberangsangkan terutama pada hari minggu," katanya.

Menurutnya, sejak beroperasi, galeri mini ini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai termasuk dalam kalangan pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi.

Pelajar, Muhammad Amar Rashdan Ramzan, 11, berkata, sebelum ini, pengetahuannya berkaitan Petronas sangat terbatas kepada operasi stesen minyak sahaja.

Muhammad Amar Rashdan

"Bila saya datang ke PAPK dan melawat galeri mini Petronas ini, barulah saya faham bahawa Petronas merupakan syarikat minyak dan gas bersepadu yang terlibat di dalam sektor huluan dan hiliran.

"Di sini, saya juga dapat memahami bagaimana proses cari gali minyak dilakukan, proses minyak mentah ditapis seterusnya dipasarkan kepada pengguna," katanya.

MOHAMMAD Ahmad Shazly (tengah, kemeja putih) bergambar bersama guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Rantau Petronas yang mengadakan lawatan ke galeri mini Petronas di Bangunan Perpustakaan Awam Pekan Kerteh (PAPK) Kemaman.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Rantau Petronas, Mohd Rozi Hamid berkata, teruja dengan kewujudan galeri berkenaan dan beliau bersama sekumpulan guru dan 30 pelajarnya menganjurkan lawatan ke galeri itu.

"Kami guru dan pelajar memperoleh banyak maklumat bagaimana syarikat Petroleum negara ini menjalankan operasi penerokaan dan pengeluaran minyak serta menghargai peranan besar Petronas kepada negara terutama di dalam aspek pembangunan modal insan.

"Saya difahamkan selain daripada sumbangan di dalam bidang Pendidikan, Petronas turut memainkan peranan yang besar di dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 1:57 PM