Nur Raiha bersama suaminya menunjukkan antara makanan yang disediakan di kafenya. FOTO FARIS ZAINULDIN
Nur Raiha bersama suaminya menunjukkan antara makanan yang disediakan di kafenya. FOTO FARIS ZAINULDIN
Nur Raiha (kiri) bersama suaminya memperagakan gaya seperti filem "Harry Potter" yang bersesuaian dengan konsep kedainya di Hedwig Books & Cafe, Kubang Kerian. FOTO FARIS ZAINULDIN
Nur Raiha (kiri) bersama suaminya memperagakan gaya seperti filem "Harry Potter" yang bersesuaian dengan konsep kedainya di Hedwig Books & Cafe, Kubang Kerian. FOTO FARIS ZAINULDIN
Hazira Ahmad Zaidi


YAKIN suasana santai mampu menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat, seorang wanita tampil berani membuka sebuah kafe yang berkonsepkan perpustakaan di Kelantan.

Malah, dia mengumpul modal dan idea untuk realisasikan impian membuka premis begitu selama 24 tahun.

Kini, kafe dua tingkat itu yang menghidangkan minuman dan makanan kegemaran tempatan, turut disertakan lebih 1,000 buku pelbagai genre di tingkat atas premis.

Nur Raiha Hanafi, 47, berkata, idea untuk membuka kafe perpustakaan begitu di Kelantan timbul ketika dia menuntut di San Diego State University, California pada 1990.

"Selepas pulang ke Malaysia sebaik tamat pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi pada 1993, saya mula membuat perancangan untuk merealisasikan impian itu.

"Setiap kali ada promosi jualan buku atau mana-mana kedai buku yang menjual buku terpakai, saya akan membelinya untuk diletakkan di perpustakaan ini.

"Sehinggalah saya membuka kafe perpustakaan dengan nama Hedwig Books and Cafe di Kubang Kerian di sini, dua minggu lalu dan mempunyai 1,000 buku pelbagai genre dan topik," katanya ketika ditemui di kafenya, baru-baru ini.

Nur Raiha berkata, dia mengeluarkan belanja hampir RM200,000 untuk mengubah suai tingkat atas premis supaya menyerupai perpustakaan mini yang bertemakan filem popular, Harry Potter.

Menurutnya, pembukaan kafe itu secara tidak langsung menarik perhatian ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka membaca dan menjadi tempat lepak pelbagai golongan pencinta buku.

Katanya, suaminya Mohd Hafis Che Kamarudin, 28, turut membantu menguruskan kafe berkenaan yang diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

"Sambil membaca, pengunjung boleh menjamu selera dengan mengambil pelbagai juadah yang disediakan seperti spageti, kek dan minuman panas atau sejuk.

"Dalam masa sama, kafe kami turut menyediakan pinjaman buku kepada pelanggan dan kadar bayaran dikenakan mengikut jenis buku yang dipinjam," katanya.

Beliau berharap, dengan adanya perpustakaan mini ini, orang ramai akan mengambil peluang untuk mengisi masa mereka secara berfaedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 5:03 PM