Nur Izzati Mohamad


SEBUAH gudang menyimpan pelbagai produk kurma dekat Bandar Perda, Bukit Mertajam, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang kerana menggunakan logo halal yang tidak mendapat kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya menyerbu gudang berkenaan bermula jam 11 pagi tadi bersama pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

Katanya, serbuan dilakukan selepas JAIPP mendapat aduan daripada orang awam berhubung penggunaan logo halal yang didapati tidak sah.

“Seramai enam penguat kuasa KPDNHEP bersama dua pegawai dari JAIPP menjalankan pemeriksaan terhadap premis ini.

“Pemilik didapati membekalkan dan memasarkan kurma ini dengan menggunakan logo halal tanpa mendapat kebenaran JAKIM,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam serbuan itu, KPDNHEP menyita 27 tan kurma bernilai RM448,000.

Difahamkan, kurma itu diimport daripada pelbagai negara sebelum ia dipasarkan di sekitar negeri di utara.

Mohd Ridzuan berkata, siasatan awal mendapati premis itu beroperasi sejak tiga tahun lalu dan tidak pernah sekali pun memohon untuk mendapatkan tanda logo halal yang sah.

“Malah, pemilik memberi alasan tidak munasabah dengan menyatakan dia tidak tahu bahawa perlu memohon terlebih dulu bagi mendapatkan kebenaran sebelum menggunakan logo halal.

PERBEZAAN logo halal dikeluarkan JAKIM dengan logo digunakan pada produk kurma yang dirampas. FOTO Rosli Ahmad
PERBEZAAN logo halal dikeluarkan JAKIM dengan logo digunakan pada produk kurma yang dirampas. FOTO Rosli Ahmad

“Oleh itu, kita menyeru kepada semua peniaga apatah lagi dengan kedatangan Ramadan ini supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan tanda halal yang tidak sah kerana ia boleh mendatangkan was-was kepada pengguna Muslim,” katanya.

Kes disiasat mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa.

Jika sabit kesalahan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

Bagi bukan pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan untuk kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 7:09 PM