Dari kiri Dr Sahruddin, Mohd Izhar dan Mohd Solihan antara yang disebut-sebut sebagai MB Johor.
Dari kiri Dr Sahruddin, Mohd Izhar dan Mohd Solihan antara yang disebut-sebut sebagai MB Johor.
Ibrahim Isa


TIGA nama dikaitkan sebagai Menteri Besar Johor yang baru dan akan dilantik di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene esok.

Tiga nama yang hangat diperkatakan sejak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Datuk Osman Sapian meletak jawatan Selasa lalu adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal; ADUN Larkin, Mohd Izhar Ahmad dan ADUN Tenang, Mohd Solihan Badri.

Bagaimanapun, Dr Sahruddin dikatakan calon yang layak memikul tanggungjawab meneraju barisan kepemimpinan negeri itu berdasarkan pengalamannya sebagai exco sejak hampir setahun lalu.

Selain itu, cara beliau menangani isu pencemaran Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang turut mendapat pujian pelbagai pihak.

Ketika itu, Dr Sahruddin bukan saja melawat mangsa hampir setiap hari malah bekerjasama erat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menyediakan dewan saringan di Taman Pasir Putih serta memastikan Hospital Sultan Ismail (HSI) serta Hospital Sultanah Aminah (HSA) memberikan rawatan terbaik kepada lebih 5,000 penduduk yang terjejas akibat pencemaran itu.

Pada masa sama, Dr Sahruddin berjaya memastikan bekalan makanan terutama ayam, sayur, ikan dan daging mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri tahun lalu dengan menghentikan atau mengurangkan eksport bekalan berkenaan ke negara jiran.

Selain itu, faktor ‘anak Muar’ atau anak jati Bandar Diraja yang sering dikaitkan dengan Menteri Besar terdahulu (Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Ghani Othman dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) menjadikannya pilihan utama menyandang jawatan berkenaan.

Hari ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima peletakan jawatan Osman sebagai Menteri Besar.

Baginda berkenan selepas menerima surat berkenaan pada jam 10 pagi di Istana Pasir Pelangi di sini.

Dalam satu kenyataan akhbar, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani berkata, Sultan Johor berkenan melantik Menteri Besar baru dan Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar 9.30 pagi esok di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Selain Menteri Besar, Sultan Ibrahim bertitah mahu perubahan dalam barisan EXCO negeri.

Difahamkan, beberapa Pengerusi Jawatankuasa negeri akan berubah tugas namun ada juga yang digugurkan untuk memberi laluan kepada ADUN lain.

Perubahan dilakukan berikutan prestasi tugas masing-masing sepanjang menjadi EXCO hampir 11 bulan lalu selain memastikan ekonomi Johor terus maju dan berdaya saing.

Berita berkaitan

MB Johor menghadap Sultan Johor

Sultan Johor perkenan MB letak jawatan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 9:44 PM