SULTAN Ibrahim berkenan bertitah bersama barisan Exco Johor baharu. FOTO Ihsan RPO
SULTAN Ibrahim berkenan bertitah bersama barisan Exco Johor baharu. FOTO Ihsan RPO
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar mengingatkan semua barisan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Johor yang baharu bahawa tugas mereka sudah pun bermula dari saat mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, Exco dilantik perlu kekal fokus dalam melaksanakan janji atau ikhtiar yang sudah dibuat dalam kempen pilihan raya mengikut portfolio masing-masing, dan sentiasa bertanggungjawab, jujur dan amanah.

"Jalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Tugas anda sudah pun bermula dari saat ini. Kepentingan negeri dan rakyat mesti diutamakan. Bekerjasamalah dengan semua pihak.

"Jangan lupa anda juga adalah wakil rakyat di kawasan masing-masing. Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa 'berbulan madu'.

"Masa kempen kamu berjanji kepada mereka, sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaiknya, bekerja dengan penuh dedikasi. Saya akan sentiasa memantau prestasi semua Exco.

"Semua Exco sudah diberikan portfolio masing-masing. Jalankan tugas anda dengan sebaiknya jika tidak mahu diganti oleh calon lain," titah Sultan Ibrahim di akaun Facebook baginda, hari ini.

Terdahulu, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat sumpah jawatan Exco Johor di hadapan Sultan Ibrahim, hari ini.

Majlis Istiadat Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini, pagi tadi.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 12:12 PM