Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan pengendali laman Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang bertindak memuat naik wajah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang disunting dalam keadaan mengaibkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ia bagi membantu siasatan terhadap laporan polis diterima pihaknya membabitkan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita sudah buka kertas siasatan. Setakat semalam 91 laporan polis sudah kita terima dan ia mungkin bertambah hari ini.

“Siasatan kini dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman,” katanya ditemui selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Golf Piala Ketua Polis Negara 2019 di Kuantan hari ini.

Laman FB itu kelmarin menimbulkan kemarahan masyarakat apabila memuat naik wajah Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan mengaibkan sebelum laporan polis dibuat di seluruh negara.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan mengecam keras paparan di FB yang dimuat naik oleh kumpulan itu yang bertindak mengubah gambar Yang di-Pertuan Agong.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik sebagai berkata, perbuatan itu menghina Raja dan melanggar undang-undang negara.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, siasatan daripada pelbagai sudut akan dilakukan termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan individu yang mengendalikan laman FB itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan, iaitu kesalahan bagi mana-mana orang yang melakukan perbuatan cenderung kepada cubaan menghasut.

Berita berkaitan

Polis terima 91 laporan hina Agong

Hina Agong perbuatan biadap

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 6:49 PM