GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebanyak 36 laporan polis diterima berhubung tindakan individu yang memuat naik entri di media sosialnya yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata laporan polis itu diterima daripada pelbagai pihak termasuk parti politik dan individu perseorangan.

"Polis Johor menerima 36 laporan polis berhubung kes individu didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, setakat ini.

"Kesemua pengadu (babitkan 36 laporan polis) telah dirakam percakapan mereka dengan semua rakaman berkenaan sudah diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, bagi tindakan susulan.

"Siasatan telah dijalankan oleh pihak USJT Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pemuda UMNO Johor dilaporkan mengarahkan 26 bahagiannya sayap itu di negeri ini membuat laporan polis

terhadap individu yang memuat naik entri di media sosialnya didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Jumaat lalu

Ketuanya, Noor Azleen Ambros, dilaporkan berkata langkah itu bagi menggesa siasatan dibuat terhadap individu berkenaan yang dipercayai pemimpin muda PAS.

Ia susulan gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh kelmarin, yang menggesa siasatan dibuat terhadap individu berkenaan yang dilihat bertindak biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Dalam entri di akaun Facebook yang dipercayai sudah dimuat turun itu, antara lain individu berkenaan menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat di negeri ini.

Beliau juga dilaporkan mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, individu berkenaan dikenali sebagai Hezry Yasin, didakwa sebagai Pengarah Media Baharu Pemuda PAS Selangor.

Bagaimanapun, Hezry tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 4:31 PM