XAVIER Jayakumar. FOTO Arkib NSTP
XAVIER Jayakumar. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBANYAK 33 laporan polis diterima berhubung dakwaan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dan provokasi terhadap sidang Parlimen yang berlangsung, kelmarin.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sedang giat menyiasat kes membabitkan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Kita terima 33 laporan itu di seluruh negara setakat ini. Siasatan sedang dijalankan (membabitkan kenyataan Dr Xavier)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, menerusi satu video berdurasi hampir tiga minit, Xavier menyifatkan persidangan berkenaan sebagai sampah dan tidak berguna.

Xavier dilaporkan berkata, Ahli Parlimen cuma berada sejam sahaja di Dewan Rakyat untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan Covid-19.

Sidang itu dijadual selama sehari, namun dipendekkan untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong.

Pada hari sama, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Wangsa Maju membuat laporan polis berhubung isu berkenaan terhadap Xavier.

Ketuanya, Mohammed Ridzal Kamal Ghazalee dilaporkan berkata, kenyataan itu adalah satu penghinaan kepada Institusi Diraja dan tidak wajar mana-mana ahli politik mempertikaikan keputusan untuk Parlimen bersidang seperti yang berlangsung kelmarin.

Berita berkaitan

Dr Xavier didakwa hina institusi diraja

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 5:23 PM