AKTIVIS sosial, Amri Che Mat (kanan sekali) bersama isteri, Norhayati Mohd Ariffin (tengah) ketika sedang bercuti sebelum kehilangan Amri pada November 2016. FOTO Ihsan Norhayati
AKTIVIS sosial, Amri Che Mat (kanan sekali) bersama isteri, Norhayati Mohd Ariffin (tengah) ketika sedang bercuti sebelum kehilangan Amri pada November 2016. FOTO Ihsan Norhayati
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KELUARGA aktivis sosial, Amri Che Mat, 46, yang hilang pada November 2016 lalu, hanya mampu berdoa supaya aktivis itu berada dalam keadaan selamat dan kembali ke pangkuan keluarga sekiranya dia masih hidup.

Isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, 46 berkata, meskipun adakalanya wanita itu seolah putus harapan, namun demi anak-anak dia mesti kuat.

“Dahulu saya masih yakin suami saya selamat... selepas dua tahun, saya sendiri tidak pasti apa nasib dia.

“Mereka boleh buat apa sahaja untuk hilangkan bukti dan kini harapan hanya tinggal harapan, kalau Amri masih ada pun, adakah dia akan dikembalikan kepada kami?

“Sehingga kini saya masih berdoa Amri kembali kerana anak-anak perempuan kami sangat rapat dengan dia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norhayati berkata, dia sangat bersetuju dengan kesimpulan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengenai kehilangan suaminya itu kerana kesemua bukti jelas menunjukkan suaminya diculik pihak tertentu.

Menurutnya, kehilangan Amri pada 2016 adalah satu titik hitam dalam kehidupan keluarga mereka apabila kehilangannya didakwa mempunyai kaitan dengan rancangan khas oleh polis Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

“Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, menghadapi tohmahan segelintir masyarakat di samping membesarkan anak-anak yang masih kecil tanpa kasih sayang seorang ayah.

“Ditambah pula ibu Amri sedang sakit malah sumber kewangan kami begitu terhad. Kami hidup dalam ketakutan, seolah rasa keluarga ini diperhatikan walaupun adakala ia hanya mainan perasaan sahaja,” kata ibu kepada empat orang anak perempuan itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan Amri dan seorang lagi aktivis sosial iaitu Pastor Raymond Koh Keng Joo.

Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu berkenaan yang bermula Oktober 2017.

Bagaimanapun semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan bahawa SB Bukit Aman bertanggungjawab ‘menculik’ mereka.

Berita berkaitan:

  • SUHAKAM akan hantar inkuiri awam kes Raymond, Amri [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 1:44 PM