Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut dalam kemalangan kontena dan kereta. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut dalam kemalangan kontena dan kereta. FOTO Ihsan Bomba
Badrul Kamal Zakaria


DUA lelaki maut selepas tayar hadapan kanan sebuah kontena bermuatan cili pecah lalu terbabas dan melanggar Perodua Myvi di laluan bertentangan di Kilometer 146.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan hari ini.

Kejadian 5.30 petang itu menyebabkan kedua-dua kenderaan dipandu kedua-dua mangsa terhumban ke dalam gaung kira-kira 10 meter.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu kedua-kedua kenderaan itu maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

“Siasatan mendapati kontena terbabit dari arah Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur dan ketika di lokasi kejadian, tayar hadapan kanan kenderaan itu pecah.

“Kejadian itu menyebabkan kontena terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan seterusnya bertembung dengan Perodua Myvi,” katanya hari ini.

Zaharudin berkata, kejadian itu mengakibatkan kontena itu terbalik melintangi laluan kiri jalan manakala kepala lori dan kereta terjatuh ke dalam gaung.

“Pemandu kontena D Sahan Kumar, 39, beralamat di Tampin, Negeri Sembilan maut akibat parah di kepala, dada dan kaki.

“Pemandu Perodua Myvi dikenali Khor Chan Hung, 40, beralamat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang juga maut di lokasi akibat parah di kepala dan dada,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati kemalangan terbabit berlaku di jalan lurus dua lorong dengan keadaan permukaan jalan kering dan cuaca baik.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 11:27 PM