ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang maut selepas teksi dinaiki terbabit kemalangan dengan tiga lagi kenderaan di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang maut selepas teksi dinaiki terbabit kemalangan dengan tiga lagi kenderaan di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Muhaamad Hafis Nawawi


PENUMPANG teksi wanita maut manakala empat lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, kemalangan berlaku di Jalan Loke Yew menghala ke Cheras membabitkan kereta Perodua Axia, teksi, lori dan motosikal.

Menurutnya, mangsa, wanita warga emas, Shanta Kumari, 72, yang menaiki teksi maut selepas parah di kepala manakala pemandunya, P Muniandy, 67, cedera di kepala dan kaki.

“Pemandu kereta Perodua Axia, Siti Noorwati Abdul Haya, 38, yang bekerja sebagai kerani pula cedera di dada dan kepala sementara penunggang motosikal S Nwhethan, 20, yang bekerja juruteknik retak kaki.

“Pemandu lori, Suhaimi Sulaiman, 45, tidak cedera dan mereka dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkifli berkata, kemalangan berlaku apabila tayar kanan lori pecah menyebabkan pemandunya hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan lain.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada 1.27 tengah hari.

Komander Operasi, Mohd Khairul Azmin Jaafar berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dengan kekuatan seramai 20 orang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati kemalangan itu membabitkan empat kenderaan.

“Terdapat lima mangsa terdiri tiga lelaki dan dua wanita dan penumpang teksi disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

“Empat orang lagi yang cedera ringan dihantar ke PPUKM untuk menerima rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:36 PM