GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak


TIDAK tahan menjadi mangsa seksual abang kandung sejak lima tahun lalu, seorang remaja perempuan nekad lari dari rumahnya di Tapah dan membuat laporan polis semalam.

Gadis berusia 17 tahun itu mendakwa bukan hanya dirogol dan diliwat abang sulungnya yang berusia 26 tahun, tetapi turut dicabul sejak dia berusia 11 tahun.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa melarikan diri dari rumahnya 10.40 pagi semalam dan ke rumah ibu saudara di Slim River sebelum membuat laporan di balai polis pada 12.45 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati dia yatim piatu dan tinggal bersama tiga abang di rumah sewa di Tapah. Dia mendakwa sering dikongkong oleh abang sulung dan turut diberhentikan sekolah tanpa sebab.

“Malah dakwanya, kejadian bermula pada 2014, yang mana pada awalnya dia dicabul dan tidak dirogol.

“Pada 2017, ketika berusia 14 tahun, mangsa mendakwa dirogol dan diliwat dengan kejadian terbaharu pada Jumaat minggu lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, mangsa diperlakukan begitu ketika dua lagi abangnya tiada di rumah.

Wan Azharuddin berkata, mangsa tidak pernah menceritakan kejadian kepada sesiapa kerana diugut abangnya dengan tidak diberi makan dan duit belanja.

“Pemeriksaan awal ke atas mangsa sudah dijalankan di Hospital Slim River dan dia ditahan di wad sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan itu, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan dan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk perintah tahanan reman.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 9:15 AM