ANGGOTA bomba membantu mangsa kemalangan di Kilometer 82 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membantu mangsa kemalangan di Kilometer 82 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur. FOTO Ihsan JBPM
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my


Tapah: Suri rumah maut manakala dua lagi wanita cedera selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 82 Jalan Persekutuan Ipoh -Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian itu 8.20 pagi itu, mangsa Asmawati Hashim, 57, yang duduk di bahagian penumpang depan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River, dekat sini.

Sementara, dua lagi wanita dipercayai anak saudaranya, Norfatin Aliah Azhari, 24, yang memandu kereta dan Norain Nabilah Azhari, 14, yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, kereta Perodua Bezza dipandu Nufatin Aliah terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung kereta BMW dipandu lelaki berusia 63 tahun.

Katanya, lelaki terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Manjung.

"Akibat kejadian, Nur Fatin Aliah dan Norain Nabilah yang berasal dari Chenderiang, Perak cedera ringan, manakala Asmawati parah, sementara pemandu BMW tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan selanjutnya.

Katanya, Asmawati yang berasal dari Temoh, disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River, pada 12.24 tengah hari.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 6:41 PM