Rosman Shamsudin


PENGAWAL keselamatan ditahan polis kerana dipercayai merogol anak saudaranya di sebuah rumah kosong, di Slim River, di sini, semalam.

Suspek berusia 50-an menyerah diri di Balai Polis Muallim, 1 tengah hari semalam selepas mangsa berusia 14 tahun membuat laporan polis pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa membuat laporan polis bersama ibunya kerana tidak tahan dengan perbuatan suspek.

Katanya, hasil siasatan polis, mangsa mengaku pernah dicabul empat kali dan kali terakhir perbuatan itu dilakukan Ahad lalu ketika mangsa sedang berehat di ruang tamu rumah neneknya di sebuah kampung, di sini.

"Mangsa juga memberitahu pernah dirogol sekali di sebuah rumah kosong ketika suspek hendak menghantar mangsa ke sekolah pada Mac lalu.

"Mangsa tinggal bersama neneknya dan suspek selepas ibu bapa mangsa bercerai.

"Mangsa sebelum ini tidak berani membuat laporan polis selepas dipercayai diugut supaya tidak memaklumkan kejadian cabul dan rogol itu kepada orang lain," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, pemeriksaan pihak hospital mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa dan mangsa kini menerima rawatan.

Katanya, suspek yang masih bujang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 10:03 PM