Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid


DEWAN Rakyat dimaklumkan tiada pengisytiharan darurat bencana di kawasan terjejas sisa toksik di Pasir Gudang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin semasa menggulung usul pengisytiharan darurat bencana yang dibawa oleh Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi khas Sidang Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini, berkata:

“Tiada permintaan daripada kerajaan negeri untuk mengisytiharkan darurat bencana sedangkan mengikut Akta Majlis Keselamatan Dalam Negeri (MKN) 2016, permintaan mesti datang daripada kerajaan negeri.

“Tahap bencana pula adalah tahap dua iaitu di peringkat negeri di mana tahap pertama ialah daerah diikuti negeri dan nasional.

“Semalam kerajaan negeri sudah memutuskan mereka berupaya untuk mengawal keadaan.”

Terdahulu, lima menteri dan timbalan menteri membahaskan usul berkenaan iaitu Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Peniaga kedai makan Kebayan Taman Pasir Putih, Pasit Gudang memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga ketika menjalankan aktiviti harian. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Peniaga kedai makan Kebayan Taman Pasir Putih, Pasit Gudang memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga ketika menjalankan aktiviti harian. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Selain itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub serta Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis turut membahaskan usul berkenaan.

Penyokong kerajaan pula ialah Steven Choong (PH-Tebrau) sementara wakil pembangkang ialah Datuk Seri Ahmad Mazlan (BN-Pontian) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).

Mohamed Hanipa berkata, Kerajaan Pusat sudah meluluskan bantuan sebanyak RM8 juta untuk kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim.

Katanya, selain itu, aset-aset juga sudah berada di kawasan terjejas seolah-olah seperti darurat diisytiharkan.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Arif Md Yusof berkata, tiada undian akan dilakukan mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1).

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 7:15 PM