SITI Saloma menunjukkan buah anggur yang akan dituai hujung bulan ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
SITI Saloma menunjukkan buah anggur yang akan dituai hujung bulan ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


CUACA panas yang melanda negara ketika ini memberi manfaat kepada pengusaha ladang anggur di Kampung Darat Jelutong, Batu 7 1/2 Lekir, Sitiawan, apabila buah yang dihasilkan lebih manis dan rangup.

Pemilik Saloma Vineyard dan Nursery, Siti Saloma Saad, 54, berkata, cuaca panas bermula akhir Januari lalu dan sehingga awal April ini memberikan kelebihan kepada tanaman anggur berbanding musim hujan.

Bagaimanapun, katanya, tahun ini buah tidak masak serentak berikutan cuaca yang terlalu panas, namun ia tidak menjejaskan kualiti dan tahap kemanisan anggur yang dihasilkan.

“Buah anggur yang dihasilkan pada musim ini juga mencapai tahap kemanisan pada bacaan 26 brix berbanding kebiasaannya pada tahap 22 brix, manakala pada musim hujan tahap kemanisan buah hanya 18 brix sahaja.

“Jika musim hujan buahnya sedikit tawar, tetapi buahnya besar manakala untuk musim kemarau saiznya kecil namun rasanya manis selain kadang-kadang tiada biji,” katanya ketika ditemui di ladang anggurnya yang berada bersebelahan rumahnya.

Siti Saloma berkata, musim panas juga tidak menjejaskan hasil tetapi pengeluarannya sedikit memandangkan buah masa secara berperingkat.

“Kali ini anggur masak sikit-sikit, selalunya 40 kilogram (kg) masak serentak, sekarang ini seminggu 10 kg buah masak.

“Di sini suhu 27 darjah celcius dan paling tinggi pernah mencecah 33 darjah celcius (ketika ini), biasanya Februari dan Mac memang tempoh buah masak, manakala empat bulan sebelum itu proses pemangkasan dijalankan.

“Untuk musim ini kami sudah mengutip hasil kira-kira 30 kg dan pelanggan juga lebih sukakan buah pada musim kemarau,” katanya yang mempunyai ladang seluas 0.4 hektar dengan kira-kira 500 pokok anggur.

JERAMI diletakkan untuk menutup tanah bagi menjaga akar pokok daripada cahaya matahari. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
JERAMI diletakkan untuk menutup tanah bagi menjaga akar pokok daripada cahaya matahari. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Katanya, bagi mengekalkan kelembapan tanah, dia menggunakan jerami untuk menutup tanah bagi menjaga akar pokok daripada cahaya matahari yang terlampau panas.

“Ini juga adalah proses pemulihan tanah, selain menjaga kelembapan tanah ia juga dapat jadi baja organik, elak tanah panas dan rumput yang banyak.

“Kalau terlampau panas memang banyak serangga kecil. Sama juga dengan jika hujan yang terlalu kerap dan lebat... tetapi setakat ini ia bukan masalah besar dan tidak mengganggu pertumbuhan,” katanya yang mengusahakan ladang bersama ahli keluarganya.

Siti Saloma berkata, antara varieti pokok anggur yang ditanamnya ialah Long White Malaga, Alphonso Lavelle, IAC, Isabella Madu, Black Queen serta Black Opal.

“Anggur jenis Alphonso Lavelle dan Long White Malaga adalah varieti paling manis untuk musim kemarau dengan Alphonso Lavelle mencapai tahap bacaan 24 brix manakala Long White Malaga pula 26 brix.

“Musim panas ini bukan sahaja anggur yang manis, malah buah tin, epal dan buah-buahan tempatan seperti nangka dan betik juga sama,” katanya yang turut menanam pelbagai jenis buah lain seperti buah tin, avokado, epal, nangka, nanam, limau bali dan pelbagai jenis herba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 9:32 AM