BUAH rock melon dari ladang Arafat menjadi kesukaan pembeli kerana kemanisannya.
BUAH rock melon dari ladang Arafat menjadi kesukaan pembeli kerana kemanisannya.
Nurul Husna Mahmud


Terdapat formula tertentu digunakan dalam kaedah penanaman pokok rock melon bagi memastikan keberhasilan tinggi selain mutu buahnya menepati piawaian.

Menurut seorang pengusahanya, Arafat Abd Rasyid, formula tanaman adalah berbeza mengikut biji benih dan musim ia ditanam.

Kata Arafat yang mesra disapa Afat, ketika ini dia menggunakan dua jenis biji benih iaitu Thai Melon dan Madesta atau Panah Merah dengan formula atau kaedah tanaman berbeza.

"Saya bernasib baik ditemukan dengan pengusaha tanaman yang dikenali sebagai Khairul Bos yang membantu saya dalam ilmu penanaman buah terbabit daripada kosong sehinggalah berjaya menemui formula sendiri.

"Kos permulaan menggunakan modal sendiri yang agak tinggi iaitu lebih RM30,000 dengan jumlah 1,300 pokok.

"Saya meminjam dengan keluarga selain menggunakan simpanan sendiri untuk pelaburan awal kerana menggunakan kaedah fertigasi berpara.

"Di sini kawasan tanahnya rendah dan kalau hujan tanah boleh digenangi air selain tenggelam. Saya terpaksa laraskan semua anak pokok menggunakan kaedah fertigasi berpara supaya tanaman boleh diselamatkan meskipun pada musim banjir," katanya yang mengusahakan tanaman tembikai itu di Kampung Kanchong Darat Banting, Selangor.

Meskipun ketika permulaan pengeluaran hasil tidak dapat mencapai kualiti premium iaitu buahnya hanya memiliki berat sekitar 1.4 kilogram, namun ia masih boleh dijual kepada penjual perseorangan atau pembeli secara langsung.

"Dalam penanaman rock melon bagi mencapai kualiti premium atau gred A, berat buah perlu melepasi 1.5 kilogram.

"Selain rupa buah yang cantik iaitu permukaan kulit diselaputi seakan-akan akar putih berselirat, perlu pastikan kemanisan mencapai lebih 13 hingga 16 brix.

FERTIGASI berpara kerana kawasan tanah rendah berisiko apabila musim hujan.
FERTIGASI berpara kerana kawasan tanah rendah berisiko apabila musim hujan.

"Biasanya pemborong hanya membeli buah pada kualiti ini untuk dipasarkan di pasaraya dan permintaan buah ini cukup tinggi dan menguntungkan," katanya yang berbangga apabila tanaman diusahakan itu mengeluarkan buah mutu premium pada tuaian musim kedua dan ketiga.

Banyak faktor dalam menentukan hasil terbaik termasuk menggunakan benih berkualiti selain kaedah atau formulasi penanaman yang betul.

"Setiap penanam ada formula tersendiri dan itu hanya dapat dipelajari dalam tempoh proses penanaman. Saya sendiri meskipun berguru, tetapi ada ketika terpaksa mencari penyelesaian sendiri kerana faktor musim selain kawasan tanaman yang berbeza.

"Kalau buah ditanam pada musim hujan, kaedah atau cara penanaman sehinggalah menuai berbeza kerana kualiti terutama kemanisan buah bergantung kepada faktor ini.

PEMBELI juga boleh menuai sendiri di ladang.
PEMBELI juga boleh menuai sendiri di ladang.

"Buah ditanam pada musim panas lebih manis berbanding ketika musim hujan, tetapi dengan kaedah tertentu biasanya penanam ada cara supaya buah itu mencapai skala kemanisan yang sewajarnya sebelum ia dituai," katanya.

Faktor lain juga seperti ejen pendebungaan juga memainkan peranan penting dalam memastikan pengeluaran buah selain perlu dilindungi daripada serangan lalat buah (white fly) yang boleh menjejaskan kualiti buah.

Kata pengusaha berusia 33 tahun itu juga, selain perlu pastikan buah yang dikeluarkan menepati piawai berat dan manis kualiti premium, buah boleh terjejas dengan serangan lalat buah.

"Serangan lalat buah juga menjejaskan kualiti buah kerana serangan perosak itu gemar menebuk buah yang hampir matang boleh menyebabkan ia jatuh kepada kualiti C.

"Ia hanya dapat diatasi dengan penjagaan lebih baik iaitu aturan baja yang bersistematik selain penggunaan rabun berkala untuk memastikan ia berkesan.

BUAH rock melon mempunyai permukaan kulit seperti akar putih yang berselirat.
BUAH rock melon mempunyai permukaan kulit seperti akar putih yang berselirat.

"Perlu juga penanam rock melon peka dengan perubahan musim terutama ketika musim hujan yang memerlukan lebih kerap kerja meracun bagi mengekang masalah ancaman perosak," katanya.

Dalam penanaman rock melon ini juga ada juga fasa pokok terpaksa dibuang kerana penyakit atau pertumbuhan terbantu.

Katanya, dalam tempoh dua hingga tiga bulan penanaman sebelum hasil dituai, terdapat tempoh tertentu pokok dibuang kerana penyakit atau terbantut.

"Ketika ini saya sudah masuk musim ketiga dengan jumlah pokok sudah mencecah 3,000. Saya jangkakan hasil jualan musim ini mencecah sekurang-kurangnya RM20,000.

"Menuai biasanya bergantung kepada pembeli atau pemborong. Pemborong biasanya ada permintaan untuk tuai awal kerana mahu buah antara dua hingga tiga hari sebelum betul-betul masak dijual dalam pasar raya," katanya yang kini turut membantu 30 individu yang ingin berjinak-jinak dalam tanaman rock melon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:35 AM