POKOK anggur disemai dalam beg plastik.
POKOK anggur disemai dalam beg plastik.
BENIH pokok dipindahkan ke dalam pasu.
BENIH pokok dipindahkan ke dalam pasu.
BUAH anggur berwarna merah tua.
BUAH anggur berwarna merah tua.
SALOMA menjual pokok anggur dan buah segar.
SALOMA menjual pokok anggur dan buah segar.
Teks dan gambar Norsharuddin Sapian


Siapa sangka tindakan seorang wanita menanam beberapa pokok anggur secara suka-suka kini bertukar menjadi sumber pendapatan menguntungkan.

Siti Saloma Saad, 52, berkata, dia tidak menyang­ka minatnya pada pering­kat awal hanya sebagai hobi bertukar menjadi sumber rezeki.

Katanya, semuanya bermula daripada idea suaminya, Shuhaimi Ishak, 52, yang ketika itu baru pulang dari Afrika Selatan atas urusan syarikat perkapalan berpusat di Lumut, Perak, kira-kira 10 tahun lalu.

“Ketika berada di dalam kapal terbang, suami menonton tayangan video mengenai industri tanaman anggur di Afrika Selatan. Ia sekali gus menarik minatnya untuk mencuba menanam pokok itu di Malaysia.

“Jika cuaca di negara itu hampir sama seperti di sini, kenapa kita tidak cuba menanam pokok anggur di Malaysia?,” katanya.

Saloma berkata, idea untuk mencuba tanaman itu disampaikan kepadanya sekembali suami ke tanah air. Mereka terus mencari benih anggur di beberapa tempat termasuk di Kuala Lumpur.

Menurutnya, ia tidak mustahil kerana kajian menunjukkan anggur juga berasal dari negara padang pasir dan mengikut maklumat diperoleh menerusi Internet, cuaca panas mampu memaniskan lagi buah anggur.

“Pokok anggur sebenarnya boleh ditanam dan hidup subur di Malaysia berdasarkan beberapa faktor seperti pemilihan varieti yang tahan dengan hujan lebat dan cuaca yang lembap serta panas.

“Pendedahan kepada cahaya matahari pada kadar 80 hingga 100 peratus dan peredaran udara yang baik faktor yang mempengaruhi pertumbuhan pokok anggur,” kata bekas pelukis pelan di sebuah jabatan kerajaan itu.

Menurutnya, bermodalkan kira-kira RM125 untuk membeli lima pokok benih anggur berharga RM25 sepokok, lima pasu (RM75) dan lima bungkus baja (RM15), dia nekad mencuba menanam pokok anggur.

Saloma berkata, bermula dari situ, dia akhirnya berjaya membiakkan pokok berkenaan dan cuba menghasilkan anak benih pula,” katanya.

Pada November 2006, dia menyewa sebidang tanah seluas 0.4 hektar di Batu 6, Lekir dekat Sitiawan untuk mengusahakan tanaman itu. Apabila melihat hasil yang memberansangkan, dia nekad menanam 40 lagi anak pokok.

“Kejayaan itu mendorong saya membeli sebidang tanah seluas 0.4 hektar di Batu 7, Lekir bagi meluaskan lagi ladang.

“Sehingga kini, kedua-dua ladang dipenuhi ratusan pokok anggur yang terdiri daripada pelbagai varieti dan menghasilkan buah berwarna hijau, merah tua, biru tua, hitam dan merah,” katanya.

Menurutnya, antara varieti pokok anggur yang ditanamnya ialah Long White Malaga, Alphonso Lavelle dan Kyoho.

Selain itu, dia turut menanam pokok varieti IAC, Isabella Madu, Black Queen, Black Opal (tanpa biji), Loose­ Perlette (tanpa biji) dan Flame (tanpa biji).

Katanya, pokok berkenaan akan berbuah dan boleh dipasarkan antara tujuh hingga 16 bulan. Bagi pokok matang, buah yang manis dan ranum boleh dikutip kira-kira 110 hari selepas proses memangkas daun dijalankan.

“Saya juga turut membekalkan tanah awalan tanaman anggur, set baja untuk benih anggur dari bulan pertama hingga bulan kesepuluh, iaitu peringkat pokok mengeluarkan hasil.

“Selain itu, ladang saya juga memperkenalkan ­konsep petik, timbang dan bayar seperti yang dilakukan pengusaha tanaman strawberi di Cameron Highlands.

“Saya berharap ladang anggur ini juga boleh dijadikan tarikan pelancong ke negeri ini khasnya ke daerah Manjung menerusi sistem agrotourism,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 6:07 AM